Kolokium Pascasiswazah Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi 2021

Pada 24 Februari 2021, Kolokium Pascasiswazah Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi (FBKT) telah diadakan secara atas talian buat kali pertama. Kolokium ini diadakan sebagai satu platform untuk pelajar pascasiswazah membincangkan idea dan penemuan penyelidikan masing-masing dalam mengharungi cabaran kelangsungan penyelidikan, terutama disaat berhadapan dengan krisis pandemik COVID19. Selain itu juga, kolokium ini dijadikan sebagai platform untuk pelajar pascasiswazah bertukar-tukar fikiran, mendapatkan pandangan dan buah fikiran bersama pensyarah bagi memperbaiki mutu penyelidikan dan menghasilkan satu kajian yang lebih kukuh dan praktikal. Kolokium ini merupakan salah satu program tahunan FBKT dan kali ini telah dianjurkan oleh Jabatan Teknologi Bio dan Sumber Asli (JTBSA). Ahli jawatankuasa yang terlibat adalah pensyarah dari jabatan JTBSA yang diketuai oleh Dr Noor Fazliani Shoparwe. Program ini telah menggabungkan pembentangan kertas cadangan dan laporan kemajuan penyelidikan yang menglibatkan semua pelajar pascasiswazah FBKT iaitu seramai 35 orang. Program bermula pada jam 8.00 pagi yang dipengerusikan oleh Saudari Nor Zafirah dan diawali dengan bacaan doa oleh Saudara Qushairi. Seterusnya, acara dimulakan dengan ucapan kata aluan dekan FBKT, Prof. Madya Dr. Azlina Ibrahim. Memetik ucapan beliau, pelajar dinasihatkan supaya terus berusaha untuk bergraduasi tepat pada waktunya meskipun menghadapi pelbagai cabaran. Kemudian diikuti dengan taklimat oleh Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi Dan Pascasiswazah), Prof. Madya Dr. Muhammad Azwadi Sulaiman. Beliau telah memberikan taklimat secara terperinci berkenaan hal ehwal pascasiswazah di FBKT secara khususnya dan UMK secara amnya. Para pelajar dan pensyarah seterusnya dibahagikan mengikut sesi masing-masing yang mana terdapat lima sesi yang berjalan secara serentak. Pelajar dihadkan selama 10 minit untuk membentangkan penyelidikan masing-masing dan 10 minit untuk sesi soal jawab bersama pensyarah. Di akhir program, semua pelajar dan pensyarah dikumpulkan kembali untuk sesi penutup dan anugerah pembentang terbaik. Pembentang terbaik telah dianugerahkan kepada Saudari Norfatihah, Saudari Nurul Hazirah, Saudari Syifa’, Saudari Farah Amanina dan Saudari Nurul Ain Nabilah. Program berakhir pada jam 1.15 petang. Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada semua pelajar dan pensyarah FBKT yang terlibat dalam menjayakan program pada kali ini.

Disediakan oleh,

Was Hasnidah Wan Osman